Thursday, August 12, 2010
Ramadhan yang indah
Kringggggg!!!! Alarm berbunyi di tengah pagi hari, jam menunjukkan pukul 5.00 pagi, aku pula semakin menarik selimut kerana terasa sejuknya sehingga menusuk ke tulangku. Walaupun selimut menutupi hampir keseluruhan tubuhku, tetapi mataku tidak dapat ditutupi lagi. Ku intai di tirai jendelaku yang kekuningan disinari lampu-lampu neon, suasana kembali sepi selepas alarm berhenti. Kesunyian, kesejukan dan lampu-lampu neon yang mencuri masuk ke dalam bilikku membuatkan diriku terasa teruja. Tiap-tiap ramadhan, aku dapat merasakan keindahannya dan sukar untuk merasainya pada malam-malam biasa. Inilah keunikan ramadhan, suasana yang sungguh romantik untuk aku mendekatkan diriku denganNya. Menyedari masa berdetik pantas, aku lantas bangun dari kamarku dan bersiap untuk bersahur bersama keluarga tersayang. Ramadhan kali ini adalah ramadhan terakhir untuk aku sambut sebagai seorang yang bujang dan tidak lama lagi, aku bakal menyambutnya berdua iaitu bersama isteri tercinta. Jika kemudian itu aku sudah berpindah kerumah lain, maka akan agak jaranglah untuk diriku merasa keenakan masakan mak ku. Aku pasti akan merindui saat-saat ramadhan di rumah mak ku. Imsak kian hampir kepenghujungnya, aku masih bersama mak, bapak, adik dan abang ku di dapur menikmati juadah bersahur. Suasana sepi subuh hari itu dipecahkan dengan bunyi-bunyian dari lagaan sudu dan pinggan yang tanpa henti. Alhamdulillah ke atas limpah rezeki yang Allah turunkan pada keluargaku dan kami dapat bersahur dengan makanan yang sempurna. Aku tersentak dan teringat pada mereka-mereka yang hidup susah, tidak bersahur seperti aku dan keluargaku dan di dalam hatiku tertanya-tanya, ramaikah orang yang bernasib begini di dalam dunia ini. Aku merasakan diriku berada di dalam golongan orang-orang yang bernasib baik. Hidup berjaya adalah bukan hanya kerana harta semata-mata tetapi hidup dengan rasa penuh kesyukuran. Aku tidak perlu kaya untuk merasai keindahan ramadhan, aku tidak perlu kaya untuk merasai segala keindahan ciptaanNya. Selesai bersahur, aku menghirup udara segar di luar rumahku bertemankan bunyi-bunyian dari cengkerik dan sebagainya. Aku berdiri di bawah lampu neon di luar rumahku, suasana sepi dan kesejukan. Beberapa minit kemudian, azan berkumandang menunjukkan tibalah waktu subuh dan tamatlah waktu untuk bersahur. Setelah puas aku merasai suasana pagi ramadhan yang indah ini dan tibalah masa untuk aku bersyukur dengan cara perbuatan pula iaitu solat subuh 2 rakaat. Aku lantas masuk kembali ke rumah untuk bersiap menunaikan kewajipan. Hari ini adalah hari ke 4 aku berpuasa dan aku masih ada 26 hari lagi untuk menikmati suasana pagi ramadhan yang indah ini. Alhamdulillah. Sama-samalah kita muhasabah diri di bulan ramadhan ini. Sekian, wasalam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment