Monday, October 24, 2011

Bolehkah kita berubah?


Hajat benar untuk berubah? Justeru, mulakan ia dengan langkahan yang pertama. Picture by tonyileh of Devianart.Com

Kita sebenarnya hajatkan kepada Allah SWT.Kita hajatkan kepada rahmat, hidayah dan kasih sayang-Nya. Benar, jiwa kita sebenarnya :- sangat-sangat merindui Allah SWT dan ingin meluahkan segala curahan perasaan kepada-Nya.
Hati kita sebenarnya ingin menyintai, merindui dan menyayangi Allah SWT segenap serta sepenuh hati. Namun, wujudnya benteng dan dinding antara kita dan Allah SWT. Benteng yang membuatkan kita semakin jauh dan jauh daripada-Nya.
Lantas, jiwa kita semakin kosong, gersang, kering dan hambar. Terasa akan bebanan perasaan yang bersangatan sehingga kering air mata ini mengalir untuk Allah SWT.
Ya Allah, adakah hatiku telah mati untuk diberikan ia hanyasanya kepada- MU?

Saudara saudari yang budiman.

Benteng dan dinding yang menjauhkan kita dengan Allah SWT hanya kerana keengganan dan keingkaran kita untuk melakukan “perubahan.” Perubahan yang akan mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT.
Mampukah aku berubah? Bolehkah kita berubah? Persoalan itu bersilihan ganti menerjah minda dan bermainan di jiwa kita. Justeru, masihkan kita mempunyai harapan untuk berubah?
Dalam, siri kuliah mingguan saya bersama pelajar-pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Pasir Mas ; antara fokus saya ialah ajakan untuk sentiasa “menjentik” kesedaran di dalam diri mereka. Perkara yang termahal dan berharga dalam kehidupan ini ialah kesedaran yang terbit daripada jiwa kerdil kita ini. Justeru, inilah fokus yang saya cuba dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT untuk dikongsikan bersama mereka.
Langkah-langkah untuk berubah
Lalu, saya kongsikan dengan mereka akan suatu hakikat yang terpenting iaitu langkah-langkah untuk melakukan perubahan. Walapun ia sememangnya, sukar namun inilah jalan dan lorong yang harus ditempuhi untuk mendapat kemanisan dalam menyakini dan mengimani Allah SWT. Langkahan ini adalah langkahan untuk kita mulakan titik berubah buat diri kita ini.

Langkah-langkahnya ;

[1] Meninggalkan dosa dan maksiat secara total (sepenuhnya)

Dosa kita, adalah racun yang membinasakan hati dan diri. Dosa inilah yang membuatkan kita semakin hari semakin jauh daripada Allah SWT. Bahkan, Allah SWT semakin “menjauhi” kita lantaran kebusukan dosa-dosa yang kita lakukan secara berulang-ulang kali tanpa rasa bersalah.
Untuk menjadi hamba-Nya, kita harus berazam untuk meninggalkan segala dosa secara menyeluruh. Kita sedar, bahawa di sana terdapat suatu halangan yang terbesar dalam meninggalkan segala kebusukan dosa ini.
Itulah, dia hawa nafsu. Justeru, titik tolak kepada langkah awal ini ialah mujahadah!

[2] Terdapat keinginan untuk berubah

Hasrat, keinginan dan hajat untuk berubah ; adalah nokhtah permulaan yang amat-amat kita perlukan untuk melakukan sebarang perubahan.
Segala-galanya bermula di sini. Itulah kehendakan hati. Adakah kita benar-benar berkemahuan besar untuk berubah? Adakah ia benar-benar dijiwa dan diselami? Semuanya, kita perlu soal dengan jujur, ikhlas dan terbit kea lam realiti.
Katakan di dalam hati berulang-ulang kali :
“ Ya Allah, aku ingin berubah untuk-Mu dan hanya kerana-Mu!”

[3] Menyediakan dan serahkan hatinya untuk dididik

Untuk berubah ke arah yang lebih baik, soleh dan diredhai oleh Allah SWT ; kita perlukan hati serta jiwa yang diserahkan sepenuhnya untuk diproses dan dididik.
Ya, sepenuhnya. 100 %, tanpa sebarang keciciran dan pengecualian. Bagi yang mempunyai murabbi, ustaz atau ustazah – berikan kepercayaan dan keyakinan kepada mereka untuk mendidik kita. Serahkan segala hati dan jiwa kepada mereka yang dipercayai untuk mendidik kita.
“Bersedialah untuk dididik!”- Slogan bagi yang hajatkan perubahan yang menyeluruh!

[4] Bertaubat bersungguh-sungguh (Taubat Nasuha)

Syarat ini adalah syarat yang utama. Untuk berubah, penyesalan dan kesungguhan dalam bertaubat harus diutamakan. Ia adalah kunci untuk menghampiri diri kepada Allah SWT.
Wahai saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa Allah SWT telah membuka pintu taubat selebar-lebarnya dan tidak akan menguncinya sampai matahari terbit dari tempat terbenamnya.
Setiap kali kita melakukan dosa, kemaksiatan, kesalahan dan kejahatan, : Allah SWT berkata kepada kita : “ Datanglah kepada-Ku wahai hamba-Ku, maka Aku akan menerima taubatmu.”

[5] Berdoa, meminta dan merayu bersungguh-sungguh kepada Allah SWT

Hadapkan wajah kita kepada-Nya. Dongakkanlah kepala ke langit-Nya. Dan tadahkanlah tangan kita dengan penuh kerendahan jiwa dan kesungguhan yang tiada tara.
Sesiapa yang mendekat kepada-Mu, maka Engkau pun mendekat kepadanya. Sesiapa yang mencintai-Nya, maka Engkau pun akan mencintainya. Dan, sesiapa yang memohon kepadaMu, maka Engkau akan mengkabulkan segala permintaan-Nya.
Kebanyakan daripada kita, acu tidak acu dengan dosa. Masih bermain-main dengan lafaz doa dan ibadah jiwa ini. Kita sedar akan diri yang jijik, kotor dan penuh dengan noda ini tetapi, kita tidak pernah untuk menadah tangan berdoa memohon keampunan dan rahmat-Nya. Jika berdoa pun, hanya bentuk ritual yang dibuat-buat tanpa kehadiran jiwa dan merasai kemanisan dalam meminta-minta dengan Allah SWT.

Murabbi saya pernah menyebut :
Bagi jiwa-jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT tentunya kita benar-benar rindukan pengampunan Allah SWT bahkan pengampunan itu lebih berharga dari pertambahan usia.

Justeru, bilakah kali terakhir linangan air mata kita hangat membasahi pipi kering kita dalam berdoa kepada Allah SWT?
Penutup : Ya Allah, kerdilnya kami ini
Ya Allah, terimalah segala amal baik kami dan perbaikilah amal perbuatan kami. Ya Allah, ampunilah segala perbuatan keji kami terhadap ahli-ahli syurga dan orang-orang yang banyak mendidik kami.
Ya Allah, berilah kesempatan, peluang dan keupayaan untuk kami untuk berubah demi kecintaan dan keredhaan-Mu.

Allah.
Allah.Allah.Allah.
Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah.
Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah.
Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah. Allah.Allah.Allah.
Amiin.

Untuk dikongsi bersama..

Sumber : LangitIlahi.com

No comments:

Post a Comment