Monday, February 4, 2013

Mata


Mataku,
Di mana sahaja aku celik, ku lihat warna. Warna digerak atas usaha sendirinya. Tidak berpaut tidak bertali tetapi bernyawa. Indah sekali warna-warna itu bergerak melunaskan tanggungjawabnya di atas muka bumi ini. Akan tetapi, warna-warna semulajadi itu kian mengurang dari pandangan zahir mataku. Semakin lama semakin kelabu. Kelabu atau warna-warna yang tidak bernyawa kini menerokai bumi fana ini. Ada yang bergerak, ada yang kekal dan ada juga yang melayang-layang. Tetapi semua itu dusta belaka kerana tidak ada satu pun yang akan kekal selamanya. Tidaklah ia menyakiti hati ku bahkan memberi kepuasan yang tidak ada penghujungnya. Kepuasan yang pasti, pasti akan menyakitkan di kemudian hari. Itulah kehidupan pada mataku, warnanya yang semakin bercelaru, merosakkan yang semulajadi. Semakin lama semakin beracun. Yang indah itu kini terpelihara, tetapi ia tetap akan diteroka suatu hari nanti.
Mataku,
Di mana sahaja aku celik, ku lihat dosa. Dosa warna bernyawa yang kini terdedah merata-rata. Akan tetapi ku pohon ampun lima kali sehari, atau ku lebihkan di sepertiga malam kerana ianya belum tentu cukup buat diriku. Tidak ku pohon balasan, ku pohon petunjuk. Mataku adalah salah satu jalan bagi dosa dan juga salah satu jalan bagi ibadah. Ku panjatkan doa dan kesyukuran padaMu Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang melalui mataku dan lindungilah penglihatanku. Mataku hanya mampu melihat yang zahir. Secara batin, ianya bergantung pada mata hatiku. Keserasian hubungan mereka ini menentukan siapa aku. Satu melihat dan satu lagi menilai. Oleh kerana yang zahir itu semakin dusta, maka mata hatiku semakin lama semakin terpejam. Tidak mampu untuk turut berdusta. Itulah selemah-lemahnya Iman.

No comments:

Post a Comment