Salam,
Entri kali ini adalah peringatan buat diri saya sendiri dan juga buat anda yang ingin kaya dan berjaya dunia akhirat. Beberapa perkara yang perlu kita perbetulkan dan ianya adalah tindakan yang akan melanjutkan ke tindakan yang lain. Tanpa pengenalan ini, anda tidak akan ke mana-mana. Percayalah. InsyaAllah dengan izin Yang Maha Esa, kita mampu berubah.
Mengenali ALLAH S.W.T
Sebelum kita bertindak secara luaran memperbaiki diri kita, yang paling utama tindakan untuk kita laksanakan sebagai khalifah muka bumi ini ialah mengenali siapa yang mencipta kita, alam sekeliling kita dan segalanya. Kalau kita sendiri masih di awang-awangan dan sering alpa dengan tujuan kita diwujudkan di muka bumi ini bagaimana kita nak tahu hala tuju kita, niat kita dan untuk siapa kita lakukan. Perkara pertama yang perlu kita kenal ialah Allah S.W.T. Jika selama ini kita alpa ketika solat dan ibadah yang lain, perlulah kita kembali ke landasan yang sebenar-benarnya landasan. Kita kenal Allah, maka kita takut pada semua laranganNya. Bila kita takut pada laranganNya, maka kita akan melakukan sesuatu yang disukaiNya. InsyaAllah, semua ini akan mendatangkan keberkatan dalam hidup kita dan niat kita untuk berubah akan lebih jelas dan sempurna. Sebelum itu, mari kita buat mandi wajib dan wuduk yang sempurna, solat tahajud solat taubat dan solat hajat secara konsisten. Kalau ilmu agama tu tak cukup, marilah kita sama-sama pergi belajar untuk kukuhkan iman kita supaya lepas ni kita tidak terkandas lagi. Belajarlah dengan guru yang betul iaitu dengan Ustaz atau sesiapa yang mempunyai pengalaman dakwah yang meluas.
Mengenali diri
Bersyukur adalah penting buat kita dan ini adalah salah satu cara untuk kita mengenali diri kita. Apa yang ada pada diri kita adalah satu nikmat dari Allah S.W.T dan jika tidak menghargainya samalah kita tidak mensyukuri nikmat dari Allah S.W.T. Disetiap kurniaan itu pasti ada kelebihannya. Jangan sampai kita kehilangan nikmat dan kelebihan yang ada pada kita. Kenalilah diri kita dan terimalah seadanya. Gunakan apa yang kita ada itu untuk melonjak ke sesuatu yang baru.
Mengenali potensi diri
Niat dah bersih, kita rasa tenang melakukan sesuatu. Kita dah kenal diri kita, kemampuan kita dan kita pelihara semua itu. Seterusnya kita perlu memastikan potensi yang ada pada diri kita yang boleh merubah hidup kita ke sesuatu yang baru atau lebih baik tidak kira secara perlahan-lahan mahupun secara drastik. Potensi diri kita secara luaran, orang boleh nilaikan tetapi potensi dalaman kita, hanya kita sahaja yang ada boleh nilaikan. Sebenarnya, semua orang dalam dunia ini ada potensi masing-masing yang mana boleh diguna pakai sekiranya mereka berilmu dan mempunyai matlamat.
Mengenali ilmu
Ilmu itu adalah suatu anugerah Allah S.W.T. Islam menuntut kita supaya menjadi insan yang berilmu. Sejak dari kecil lagi kita sudah mula diterapkan dengan ilmu sehinggalah hari ini, esok, lusa dan selamanya. Betapa kecilnya kita di dunia ini berbanding ilmu yang Allah S.W.T turunkan di muka bumi ini. Oleh itu, sedaya upayalah kita menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan kerana ilmu akan membezakan manusia sesama manusia di dunia ini. Apa-apapun pastikanlah kita menuntut ilmu yang dapat memberi manfaat kepada kita dan sesiapa di sekeliling kita di kemudian hari. Abaikan ilmu yang sia-sia kerana ilmu yang sia-sia akan mempengaruhi tindakan kita untuk berubah.
Mengenali situasi dan rakan sekeliling
Situasi kita adalah sesuatu yang akan mempengaruhi tindakan kita selain daripada ilmu dan begitu juga dengan rakan sekeliling. Situasi dan rakan ada tarikan magnet yang berbeza. Contohnya jika kita seorang yang miskin, kita akan ada keinginan untuk menjadi kaya dan bantu si miskin yang lain pula untuk berubah. Tetapi jika rakan sekeliling kita tidak baik, kemungkinan ianya agak sukar untuk kita berubah. Jadi, eloklah pilih rakan-rakan yang sentiasa positif dan bermatlamat untuk merubah. Secara jemaah itu kan lagi sempurna ibadahnya.
Mengenali hala tuju
Hala tuju yang dimaksudkan di sini tidaklah mencari kekayaan semata-mata. Maksudnya di sini ialah mencari matlamat hidup di dunia dalam tempoh-tempoh tertentu. Itu tidak salah bagi kita kerana menetapkan sesuatu yang baik. Contohnya, memasang hajat dalam tempoh 4-5 tahun lagi akan menunaikan umrah atau haji, menyediakan simpanan yang cukup untuk kos perbelanjaan belajar anak, bersara awal dengan kejayaan supaya dapat memberi lebih 100% komitment terhadap usaha dakwah dan sebagainya.
Mengenali bidang yang diceburi
Yang ini, kita kena cari mentor. Apa sahaja bidang yang bakal kita ceburi mestilah merujuk kepada pakar bidang-bidang tersebut. Bidang perniagaan adalah bidang yang sangat luas dan kita tidak perlu sijil yang diiktiraf untuk berjaya dalam tersebut, apa yang penting adalah guru yang sudah berniaga dan berjaya dan mempunyai sistem yang boleh kita contohi. Konsep berniaga ini tetap sama iaitu jual sesuatu atau memberi servis dengan harga yang lebih mahal dari kosnya. Apa yang membezakan sesuatu perniagaan itu adalah produk dan jenis servis yang ditawarkan. Kalau dahulu kala, orang berniaga satu produk yang menyelesaikan satu masalah sahaja cukup untuk hidup sebagai ahli perniagaan yang berjaya tetapi kini disebabkan tahap kompetitif dalam dunia perniagaan semakin menjadi-jadi, orang berniaga satu produk dapat menyelesaikan banyak masalah. Contohnya apa yang dapat kita lihatkan dalam dunia perniagaan telefon bimbit zaman sekarang. Saingan perniagaan produk pada era ini lebih kepada keunikan, pelbagai guna, mudah pakai dan sebagainya. Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment